Warga SK. Pekan Nanas 2010

Warga SK. Pekan Nanas 2010
5:55 PM

Kurikulum sekolah dirombak selepas 20 tahun terpinggir

Posted by UNIT KOKURIKULUM, SKPN

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran akan merombak dan menstruktur semula kurikulum sukan peringkat sekolah rendah dan menengah dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, aktiviti sukan sekolah seolah-olah dipinggirkan, sering terkebelakang berbanding aktiviti lain sekali gus menenggelamkan kegemilangan sukan yang pernah menjadi kebanggaan pelajar.

Berikutan itu, katanya, semua aktiviti dan kalendar sukan peringkat sekolah akan disusun semula supaya lebih teratur dan padat dengan pelbagai program pembangunan peringkat akar umbi.

Katanya, kerajaan kini merangka perancangan khas untuk mengembalikan kegemilangan, keseronokan dan kebanggaan sukan yang dianggap semakin malap dengan menggariskan lima pendekatan baru dalam memajukan sukan.

"Dah hampir 20 tahun, sukan sering menjadi pilihan kedua atau ketiga... apa sebabnya entahlah, tetapi itulah keadaannya hinggakan pada peringkat sekolah, sukan tidak menjadi suatu kebanggaan. Berbanding zaman dulu, sukan dipandang ceria, bangga dan seronok.

"Jadi, saya buat keputusan kembalikan semula sukan dalam sekolah, mesti bermula pada peringkat awal dan semai semangat bersukan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2009.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.

Beliau diminta mengulas kemelut sukan peringkat sekolah apabila Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) menggugurkan 24 acara sukan dalam kalendar tahunan 2010 hinggalah Kementerian Pelajaran mengumumkan peruntukan RM89 juta bagi mengembalikan semula acara berkenaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kecewa kerana kebanyakan sekolah masih terlalu bergantung kepada perancangan lama yang dianggap lapuk serta langsung tidak membantu dalam usaha membangunkan sukan tanpa sebarang inisiatif.
Antara pendekatan yang akan diberi perhatian khas dalam mencapai matlamat itu ialah mengasingkan sukan daripada kokurikulum lain serta melantik pegawai khusus menjaga pembangunan sukan sekolah.

"Kurikulum sukan juga mesti diubah termasuk mengkaji waktu sesuai untuk murid dan pelajar terbabit dalam sukan tanpa menjejaskan akademik mereka. Jika ikut jadual sekarang, tempoh bersukan hanya beberapa bulan, berlatih, pilih wakil sekolah dan habis.... hinggakan ibu bapa pun tak tahu bila masanya ada aktiviti sukan.

"Bila habis tempoh tu, langsung tak ada program sehingga lima atau enam bulan... itu tak betul, bukan itu caranya, jadi mesti diperbetulkan. Kena ada perancangan apa nak buat selepas itu," katanya.

Masalah kekurangan tenaga guru sukan juga diberi perhatian dengan meningkatkan jumlahnya kerana kebanyakan guru sukan sedia ada adalah guru biasa yang tidak terlatih.

"Banyak sekolah juga tidak mempunyai kemudahan asas, tiada padang dan dewan serba guna. Kita kena cari jalan penyelesaian, mungkin boleh kongsi atau sewa kemudahan sedia ada. Apa yang penting, aktiviti tak semestinya terbatas atau bermusim, setiap ruang masa mesti diisi," katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kerajaan akan menambah peruntukan untuk program sukan melalui bajet lima tahun dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) tetapi jumlahnya masih belum ditetapkan.
(Sumber : Berita Harian Online – 21 Februari 2010)

Penafian:

Pengurus laman web ini tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman web ini.